Asia-Europe Conference 2017 Press Coverage
Free Malaysia Today • By FMT Reporters - August 3, 2017
KUALA LUMPUR: Ketua Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia meminta negara Asia menjalin hubungan antarabangsa lebih baik menerusi sistem pendidikannya.
Maria Castillo Fernandez yang juga duta besar EU ke Malaysia percaya ini adalah cara untuk menangani isu menjejaskan rantau ini.
Fernandez berkata, Eropah berjaya menjalin hubungan lebih baik melalui kurikulumnya dan memudahkan orang Eropah melancong di sekitar benua itu.
“Dalam kurikulum kami, kami bercakap mengenai sejarah Eropah, bukan sejarah Sepanyol atau Perancis,” katanya pada sidang akhbar sempena Persidangan Asia-Eropah 2017 di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya hari ini.
“Salah satu projek paling berjaya di Eropah ialah Program Erasmus.
“Dalam Program Erasmus, semua anak kami boleh belajar selama setahun di sebuah universiti salah sebuah negara dan setahun lagi di negara lain tanpa rugi apa-apa.
“Sekarang, 90% kursus universiti di seluruh Eropah menyertai program ini.”
Program Erasmus (Skim Tindakan Rantau Eropah untuk Mobiliti Pelajar Universiti) adalah program pertukaran pelajar EU yang diperkenalkan pada 1987.
“Melalui Program Erasmus, pelajar boleh menemui pelajar Eropah lain dan menyedari masalah dihadapi negara mereka sama dengan masalah orang sebaya mereka di negara sendiri,” kata Fernandez.
“Orang Asia perlu berasa seperti berada di rumah sendiri di Jakarta, sama seperti ketika berada di Kuala Lumpur atau Bangkok. Anda mempelajari bahasa mereka sedikit, berinteraksi dengan generasi muda sebaya anda di negara lain dan melalui isu sama, anda mencari hubungan Asia anda.”
Original source: BERNAMA